Selamat malam kepada rakan-rakan yang sedang membaca blog ini.
Seminggu lepas, suami membawa saya dan keluarga mertua ke kedai makan di tepi Jeti Tanjung Api untuk sarapan dengan nasi berlauk yang sangat sedap. Keistimewaan kedai ini ialah mereka menyediakan masakan ikan-ikan yang masih segar pada harga yang berpatutan. Sejak kami berpindah di Kuantan, boleh dikatakan hampir setiap minggu kami ke kedai ini untuk makan dan singgah di pasar ikan untuk membeli ikan-ikan. Pada hari ini, kami membeli 2kg sotong (lebih kurang 13 ekor sotong yang saiz sederhana) untuk dibuat ketupat sotong masak ala kelantan.
Sejujurnya, saya tidak pernah mencuba ketupat sotong ala kelantan tetapi pernah makan daripada masakan ala negeri terengganu (berkuah putih) dan sudah tentulah saya tidak pandai memasak ia. Setelah merasai ketupat sotong ala kelantan ini, saya terus menyukainya berbanding dengan ketupat sotong berkuah putih.
Jadi, pada hari ini ibu mertua saya bersetuju untuk memasak ketupat sotong ini dan saya pula memerhatikan cara dia memasak. Nampak mudah sahaja dan terus terang saya katakan bahawa saya tidak pernah mencubanya lagi membuat sendiri. Ketika itu, saya hanya bantu mak mertua saya masukkan beras pulut ke dalam perut sotong sahaja, selanjutnya dia yang bereskan semuanya. Melalui pengalaman saya sebelum ini, kebanyakkan masakan yang saya buat sendiri kadang-kala tidak sama rasanya seperti yang orang lain masak. Inilah menyebabkan saya teragak-agak untuk melakukan sendiri tanpa pengawasan orang lain. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan kawan-kawan bagaimana ibu mertua saya menyediakan ketupat ini. Catatan ini mungkin berguna juga kepada saya pada masa akan datang. Mungkin akan datang entah pada bila masa keadaan diri sudah bersedia, saya akan cuba resepi ini membuat sendiri.
Apa yang saya tahu ialah, ada persamaan pada masakan ala kelantan dan ala terengganu, iaitu cara penyediaannya. Kedua-duanya menggunakan santan, beras pulut dan sotong (tips mak mertua saya ialah pilih sotong yang bersaiz sederhana besar dan segar, jangan ambil yang kecil kerana apabila dimasak sotong itu akan mengecut dan jika sotong tidak segar badannya akan pecah akibat pengembangan pulut). Beras pulut yang dimasukkan ke dalam perut sotong itu hendaklah sebanyak 3/4 daripada isipadu badannya sahaja, tidak perlu isi penuh. Kemudian, kepala sotong yang mempunyai janggut yang panjang tidak perlu dipotong tetapi giginya yang perlu dibuang (bentuknya bulat di tengah-tengah dalam sesungut). Apa yang perlu dibuat supaya sesungut itu tidak 'messy' ialah dengan memasukkan sesungut yang panjang terlebih dahulu ke dalam perut sotong, kemudian masukkan belakang kepalanya sehingga tidak nampak matanya dan seterusnya cucukkan dengan lidi pecungkil gigi di pangkal sesungutnya dan pastikan kepala sotong itu dicucuk dengan kemas. Sila berhati-hati ketika mencucuk lidi supaya tidak terkena pada mata sotong itu.
Saya amat suka menikmati ketupat ini ketika masih panas. Mungkin ada yang segelintir tidak gemar makanan ini kerana ia kelihatan seperti kombinasi yang pelik, tetapi jika tidak mencuba siapalah tahu. Ok, saya sertakan di sini laporan pemerhatian saya terhadap resepi masakan ibu mertua saya ini. Cara masakan ini adalah tipikal dan sukatan bahan-bahannya adalah mengikut selera masing-masing,jika mahu lebih manis banyakkan gula nisannya, jika mahu masin maka lebihkan garamnya dan jika mahu kurangkan lemak maka kurangkanlah santannya. Oleh itu, di sini saya hanya akan mencatatkan sukatan mengikut anggaran sahaja seperti yang ibu mertua saya lakukan. Cheerios!