Cempedak Goreng Rangup {Crispy Fried Jackfruit}


Selamat tahun baru 2013!

Akhirnya, bertemu lagi kita setelah sekian lama diri ini terpisah dengan blog kesayangan. Jika kalian mahuntahu, selama ini saya merehatkan diri daripada menulis kerana saya telah menerima satu tugasan lahiriah seorang wanita, iaitu melahirkan cahaya mata. Alhamdullilah, saya telah menerima seorang cahaya mata perempuan pada bulan Disember tahun lalu. Sekarang, saya sudah tamat tempoh berpantang dan kini anak saya sudah hampir memasuki umur 2 bulan. Syukur pada Yang Esa kerana beri kesempatan kepada saya dan suami untuk menimang cahaya mata yang kami dambakan.

Buah Cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan, Kami budak baru belajar, Kalau salah tolong tunjukkan

 
Baiklah, kali ini saya mahu berkongsi dengan kawan-kawan semua dengan kudapan santai yang digemari oleh masyarakat Malaysia iaitu Cempedak Goreng. Untung kami sekeluarga sebab tidak perlu bersusah payah membeli Cempedak Goreng yang dijual di gerai, kerana buah cempedak dikirimkan oleh mak saudara daripada Maran. Mana tidakkan kami gembira, maklumlah harganya memang mahal pada zaman sekarang. Kalau tidak silap saya, harganya lebih kurang RM 1 untuk setiap tiga butir yang kecil-kecil saiznya. Kaedah pembuatan adunan tepung ini saya terima daripada keluarga mertua saya. Antara banyak-banyak jenis adunan celupan yang pernah saya buat untuk buah cempedak, inilah yang paling enak dan secocok dengan citarasa saya,.


Keistimewaan Cempedak Goreng saya ini terletak pada celupan tepungnya yang rangup dan nipis. Ia semestinya celupan yang ideal untuk buah cempedak. Saya dapati bahawa kebanyakkan orang lain menggunakan campuran tepung gandum dan tepung beras semasa menyediakan adunan salutan tepungnya, tetapi dalam resepi ini saya cuma menggunakan tepung beras sahaja. Sebenarnya, tepung gandum menyebabkan lapisan celupan menjadi lebih tebal setelah digoreng, dan bila telah sejuk Cempedak Goreng tidak lagi rangup. Dengan kaedah adunan yang menggunakan tepung beras sahaja akan kekalkan rasa kerangupan Cempedak Goreng tersebut.  Kemudian, saya juga tambah telur sebagai agen pengikat adunan dan sedikit kapur makan untuk memekatkan adunan. Satu lagi tips yang bernilai dalam resepi ini ialah saya memasukkan sedikit kelapa parut di dalam adunan tersebut.



Sebenarnya, tiada sukatan yang tertentu untuk menyediakan adunan celupan ini. Saya hanya menggunakan 'instinct' banyak mana bahan yang diperlukan dan sehinggalah cecair adunan celupan itu menyerupai kelikatan kuah kastard puding. Kemudian, saya juga uji dengan tahap kelekatan adunan itu terhadap buah cempedak (jika tidak adunan tidak melekat setelah buah cempedak dicelup, tambahkan lagi tepung sehingga menjadi adunan celupan yang dikehendaki). Saya juga telah menyediakan sedikit rakaman visual yang paling ringkas tentang kelikatan adunan celupan tepung ini. Sebenarnya, rakaman video ini hanyalah percubaan pertama dan tidak lengkap kerana tiada orang lain yang dapat membantu saya memegang kamera untuk merakam pekerjaan saya ini.

 
Nota: Rakaman video ini adalah mengenai tahap kelikatan cecair adunan tepung sahaja. Ia tidak merakamkan tentang penyediaan Cempedak Goreng dengan lengkap.

Semasa menggoreng buah cempedak ini, kita perlu minyak yang cukup panas. Kita uji dengan beberapa titisan adunan celupan tersebut ke dalam kuali yang berisi minyak. Pastikan titisan adunan celupan tepung itu terapung di permukaan minyak dengan segera, jika lambat tandanya anda perlu tunggulah dahulu sehingga minyak itu panas.



Cempedak Goreng
oleh: Saduran Rasa

Bahan-bahan;

Sebiji buah cempedak manis (ambil isi sahaja; hati-hati dengan getah buah cempedak kerana ia sukar untuk dicuci, sebaiknya sarungkan tangan plastik @ penyarung tangan semasa membuka dan meleraikan isi buah cempedak ini)
Tepung beras (lebih kurang 1 cawan; bergantung kepada banyak butiran buah cempedak)
Sebiji telur
Secolek kapur makan
Kelapa parut (lebih kurang 4-5 sudu besar, ikut citarasa masing-masing)
Beberapa titisan pewarna kuning/oren
Air
Minyak untuk menggoreng (cukup sehingga buah  dapat tenggelam penuh)

Kaedah penyediaan;

Panaskan minyak terlebih dahulu.

Adunan celupan tepung; Campurkan tepung beras, telur, kapur makan, kelapa parut dan pewarna di dalam satu bekas. Gaul sebentar dan isikan air sambil mengacau adunan tersebut sehingga mendapat kelikatan adunan yang diingini.

Setelah minyak panas, celupkan buah cempedak di dalam adunan dan masukkan ke dalam kuali sehingga habis. Goreng buah tersebut sehingga bertukar menjadi warna emas/keperangan. Angkat dan toskan minyak.

Sedia untuk dinikmati bersama keluarga. Enak dimakan ketika masih panas.