Kueh Kasturi/Rengas (Mung Bean Kueh)





Salam sejahtera sahabat handai sekalian,

Semalam saya beli barang-barang dapur di sebuah pasaraya yang berdekatan dengan rumah saya. Meriah juga pasaraya itu kerana ramai pelanggannya sibuk membeli-belah untuk persiapan perayaan Tahun Baru Cina. Tanglung merah bergayutan di setiap penjuru siling pasaraya itu dan lagu-lagu Tahun Baru Cina bahasa Mandarin bergema dengan nada kegembiraan dan kemeriahan. Saya dapat melihat keseronokkan mereka membeli-belah dan para cashier cekat tangan mereka mengira barang-barang di atas meja kaunter. Walaupun minggu depan perayaan itu akan disambut, tetapi saya yakin mereka akan berhabisan belanja pada minggu ini juga sebagai persiapan awal. Pasti untung besar tokey pasaraya ketika ini kan?

Saya ada beli kacang hijau, niat nak masak kuih yang sangat mudah dimasak dan cepat dimakan. Jadi saya terfikir untuk membuat kuih kasturi a.k.a kuih rengas (biasanya saya panggil kuih kasturi). Kuih ini adalah antara kuih yang berasaskan kacang hijau yang paling digemari. Kebiasaanya, kami hanya beli kuih ini di gerai kuih atau pasar. Apabila dimakan tepungnya tidak lagi rangup dan sudah sejuk. Jadi, saya terfikir untuk masak sendiri sahaja kuih ini dan ingin merasa kesedapannya ketika masih panas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kak hanieliza kerana sudi kongsi resepi ini dan saya mencuba masak kuih ini dengan tangan sendiri. Berjaya tetapi masih perlu diperbaiki di masa akan datang.

Semasa saya bancuh bahan celupan, saya tercampur lebih serbuk kunyit. Jadi warnanya lebih perang (oren) dan tidak lagi berwarna kuning. Bentuknya pula saya uli dengan tidak sekata, ada yang bulat, bujur, besar, kecil dan sebagainya kerana saya masih tidak mahir menguli adunan kacang hijau yang tidak seberapa pejal. Walaupun beberapa kriteria fizikal yang bertentangan daripada biasa,  tetapi ia tidak mengapa kerana rasa kuih ini tetap lazat pabila dimakan ketika panas-panas seperti yang telah dijangkakan.Namun begitu, apabila sudah kuih ini mula menyejuk kerangupannya sudah hilang. Ummm. Walaubagaimanapun, saya tetap akan cuba lagi pada masa akan datang.


Maaf, gambar tidak terang. Resolusi kamera saya tak bagus untuk jarak dekat.



Untuk resepinya sila lihat di sini. Selamat mencuba ya! Kalau boleh silalah kongsikan petua-petua untuk buat kuih ini seperti bagaimana hendak mendapatkan kerangupan yang lebih tahan lama dan sebagainya.