Puding Kastard (Custard Pudding)





Salam sejahtera rakan-rakan pembaca.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda masakan puding yang agak 'famous' sejak saya kecil dahulu. Saya sudah lama ingin mencuba masak puding kastard tetapi banyak halangan. Kini, saya sudah mempunyai peluang untuk melakukan percubaan pertama memasak puding ini. Kali ini saya merujuk buku masakan pula iaitu; Masakan Tradisi Melayu Johor yang dikarang oleh Noraini Margono.




Mengikut resepi ini, buah-buahan koktel diletakkan bersama puding sebelum dihidangkan, tetapi saya suka jika buah-buahan koktel itu lebih mesra dengan kastard puding. Apa yang saya buat ialah saya isi dahulu beberapa ketul buah-buahan koktel ke dalam bekas acuan dan tuangkan sedikit adunan kastard. Entah mengapa saya menjadi terlebih kreatif , saya masukkan juga beberapa camca sagu yang telah dimasak ke dalam acuan yang sama dan selebihnya saya penuhkan acuan tersebut dengan adunan kastard. Kuahnya pula, saya guna semula kuah yang saya sudah buat untuk Sagu Koktel. Mudahnya!

Setelah semuanya siap, saya biarkan ia memejal dalam suhu bilik. Sudah hampir 2 jam saya menunggu agar puding itu beku, tetapi tidak juga beku-beku. Saya hampir berputus asa kerana membayangkan kemungkinan kreativiti saya ini akan membunuh semua puding kastard itu. Adik saya yang tidak sanggup untuk terus menunggu, lantas dia makan juga puding yang tidak pejal itu. Katanya "not bad".

Kemudian, saya cuba sejukkan puding itu dalam peti sejuk. Pada keesokkan paginya saya melihat puding-puding itu di dalam peti. Ya Tuhan! Semuanya selamat. Akhirnya memejal juga puding-puding ku ini. Puding ini rasanya lembut walaupun ia pejal. Jagung manis yang ditambahkan di dalam adunan kastard memberikan gandingan rasa yang bersemi dan kerangupan kepingan kecil jagung manis membuatkan kita tidak mahu berhenti daripada menikmati puding ini.



RESEPI PUDING KASTARD (Inspirasi : Buku Masakan Tradisi Melayu Johor oleh Noraini Margono)

Bahan-bahan kastard:

2 mangkuk buah-buahan koktel
2 mangkuk tepung kastard
3 mangkuk air
1/2 mangkuk gula
1/2 mangkuk jagung manis di dalam tin {saya gunakan jenama Ayam Brand; Jagung Cawan Manis. Jagung ini bukan dalam bentuk krim malahan ia berada dalam bentuk flake, kerana saya mahukan rasa kerangupan jagung di dalam puding itu nanti.}
1/2 camca teh garam

P/S : Saya tambahkan 1 camca teh esen vanilla untuk mengurangkan rasa tepungnya; terpulang pilihan anda. Sukatan mangkuk saya ubahkan kepada cawan dan kuantitinya adalah sama seperti di atas.

Bahan-bahan untuk kuah:

1 mangkuk susu cair
1/2 mangkuk gula
2 mangkuk air

Cara penyediaan:
  1. Masukkan kesemua bahan-bahan kastard kecuali buah-buahan koktel ke dalam periuk, kacau rata-rata sehingga ia sebati dan tidak berketul-ketul.
  2. Masakkan adunan kastard di atas api yang kecil hingga sederhana. Sentiasa kacau sehingga adunan itu menjadi likat, kental dan berkilat. Padamkan api.
  3. Tuangkan adunan kastard ke dalam bekas acuan mengikut bentuk kegemaran anda. Boleh tambahkan juga sedikit sagu yang telah dimasak bersama adunan kastard itu.
  4. *Penyediaan kuah: masukkan air bersama gula di dalam periuk. Masak air gula itu sehingga gula larut sepenuhnya. Padamkan api dan biarkan ia sebentar.
  5. Setelah air gula sedikit sejuk, masukkan susu cair.
  6. Penyediaan puding: masukkan puding yang telah pejal ke dalam mangkuk. Taburkan sedikit buah-buahan koktel (Cara saya ialah buah-buahan koktel itu dimasukkan sekali di dalam bekas acuan bersama adunan kastard). Akhir sekali, tuangkan air gula dan susu. Sedia dihidangkan.
*Saya tidak menggunakan resepi kuah puding di dalam buku ini. Saya menggunakan cara saya masak seperti di dalam post Puding Raja.