Apam Beras (Rice Apom)





Salam hari jumaat kepada anda semua.

Pagi tadi saya bangun awal. Terjaga ketika embun jantan masih hinggap di rumput. Mungkin kerana saya tidur terlalu awal malam semalam dan akhirnya mata ini sudah tidak lalu untuk melena lagi. Entah mengapa, saya kini terlalu taksub untuk memasak kuih-muih. Saya membelek-belek laman blog masakan yang ada dan kemaskini laman facebook. Saya terpaut dengan apam salju/snow white yang dibuat oleh blogger-blogger lain. Ya! Ketika itu nasi lebihan masih ada lagi. Tanpa berlengah lagi, saya ke dapur dan terus menyediakan adunan apam tersebut.



Apam beras bersama hiasan lapik kain sutera indonesia, kelapa dan beras.


Apam beras. Seingatan saya, kali terakhir saya makan apam ini semasa dalam tempoh berpantang. Ketika itu, saya duduk di rumah mak mentua saya. Banyak pantang-larang maakanan dan penjagaan diri yang harus dipatuhi demi kesihatan. Selepas tiga hari pertama tempoh berpantang emak mentua saya benarkan saya makan kuih, tetapi bukan sebarang kuih. Hanya kuih apam beras ini sahaja yang boleh makan dan ia tidak berpewarna. Kuih lain mak mentua saya larang. Saya suka tekstur isi apam beras ini yang agak kenyal, bau yang harum dan manisnya sederhana. Apam ini sedap juga dimakan tanpa kelapa parut.

Hari ini saya masak apam ini dengan merujuk blog Dapur Tanpa Sempadan. Rujuk resepi dan cara penyediaan Apam Beras di sini. Saya lebih gemar gelarkan ia sebagai apam beras walaupun blogger lain menamakan ia apam salju. Saya sukakan nama yang lebih klasik dan konvensional. Saya rujuk secara menyeluruh resepinya itu dan saya adakan sedikit penambahan.

Pulpa oren yang dileraikan daripada ketulan isinya

Penambahan yang saya lakukan dalam resepi ini adalah saya menambah bahan perasa mengikut identiti warna masing-masing. Warna merah, saya masukkan perasa air mawar. Warna hijau, saya tambahkan perasa pandan. Manakala warna kuning pula, saya membuat sedikit kelainan dengan perahkan sedikit jus limau mandarin dan menambahkan sedikit pulpa oren (orange pulp). Daripada seulas isi oren itu, saya koyakkan kulitnya, kemudian saya lerai-leraikan pula pulpanya sehingga menjadi cebisan yang kecil. Maklumlah, rumah saya sudah ada 2 kotak buah limau mandarin dan tidak mengapa untuk menggunakannya dalam masakan. Tidak luak jika hendak habiskan semua limau itu dengan memakannya begitu sahaja.

Seterusnya, saya lanjutkan tempoh masa kukusannya selama 20 minit dengan api sederhana kuat. Apabila siap masak, apam berwarna kuning mempunyai bintil-bintil perang di dalam isinya. Itu adalah pulpa oren yang saya masukkan tadi. Rasanya sedikit masam manis serta haruman limau mandarin menyedapkan lagi apam ini dan sepatutnya saya masukkan pulpa oren dengan lebih banyak.


Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan resepi kuih apam beras ini. Terima kasih tiffinbiru.blogspot kerana berkongsi idea resepi yang mudah ini. Jadi, bagi anda yang meminati kuih tradisi, apam beras adalah salah satu masakan yang anda harus cuba kerana ia mudah dan tidak perlu usaha yang banyak untuk mendapatkan rasa yang sedap. Anda boleh variasikan cara kemasannya kerana ia tidak akan merosakkan rasa apam tersebut.