Konfleks Madu & Kacang {Honey Glazed Cornflakes with Nuts}




Salam sejahtera & Assalamualaikum w.b.t kepada rakan pembaca.

Hari ini adalah hari redup dan menenangkan di Kuantan tanpa kehadiran titisan-titisan daripada langit. Dua hari sebelum ini adalah hari hujan tetapi tidaklah lebat mana. Disebabkan itu, anakanda puteri mengalami selsema. Dua hari itu juga dia sukar tidur. Kerap bangun. Merengek tidak puas tidur. Hari ini, si puteri saya tidur lena. Sedang si puteri ini sedang enak tidur, maka ibunya dapat meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang digemarinya.


 Kebetulan, ada sekotak Cornflakes yang tersergam indah di atas peti sejuk yang sememangnya lama tidak berusik sejak tahun lepas lagi. Takkan hendak biarkan ia luput begitu sahaja. Jadi, dengan ringan tangan saya capainya dan buat sahajalah tanpa berfikir panjang. Kalau ditangguhkan lagi, pasti sukar menjadi.

Konfleks Madu ~ Ini adalah snek yang amat mudah dan ringkas. Lazimnya, setibanya musim perayaan atau Hari Raya, manisan inilah yang popular dan digemari kerana terkenal dengan kerangupannya. Sekali makan, tidak mahu berhenti rasanya. Tangan akan sentiasa capai snek ini hingga habis satu balang. Kadang-kala, tidak sempat Hari Raya tiba sudah habis kesemuanya sehinggakan kita terpaksa membuat sekali lagi.

Versi Konfleks Madu saya pada hari ini, saya tambahkan satu pek kacang campuran bergaram yang sedia untuk dimakan (terdiri daripada kacang tanah, badam, biji gajus, kacang berangan dan pistachio). Kacang ini, biasa ada di dalam simpanan rumah kami sebagai kudap-kudapan. Anda boleh mencari kacang campuran ini di kedai 7-eleven atau kedai serbanika 24 jam yang lain atau di pasaraya. Kerangupan kacang dan konfleks, apabila digabungkan sekali akan menghasilkan gandingan yang paling menawan. Kemudian, saya juga menambah buah kismis kerana buah ini adalah kegemaran saya. Saya cadangkan, jika anda mahu menambah buah kismis, pilihlah jenis sultana (berwarna hitam) kerana ia akan seimbangkan warna konfleks yang sedia warna cerah.



Selain itu, memandangkan sambutan Tahun Baru Cina yang semakin hampir, saya tambahkan sedikit kordial Sunquick untuk mendapat perisa oren. Pada mulanya, saya ragu-ragu juga hendak menambah rasa oren yang masam ini tetapi tidak sangka pula adik-adik dan suami saya menerima baik rasa tersebut. Sebenarnya, rasa masam menyeimbangkan rasa manis daripada madu yang ada di dalam snek tersebut.

Konfleks Madu & Kacang
Oleh: Saduran Rasa

Bahan-bahan:

1 kotak Cornflakes (~275gram)
2 sudu besar majerin (saya guna cap Pelangi)
85 gram mentega (saya guna cap Anchor)
1/2 cawan madu lebah
1 pek kacang campuran bergaram
1/4 cawan kismis
4 sudu besar Sunquick

Cara-cara penyediaan:

  1.  Panaskan majerin terlebih dahulu di dalam kuali sehingga cair. Kemudian masukkan pula mentega. Biarkan ia cair sebentar. Tujuan majerin digunakan adalah untuk mengelakkan daripada mentega menjadi hangus apabila dipanaskan.
  2. Masukkan madu. Kemudian, masukkan Sunquick dan kismis. Saya biarkan kismis dimasak lama sedikit supaya ia menjadi lembut kerana apabila dibakar nanti, kismis tidak menjadi terlalu kering.
  3. Seterusnya, masukkan Cornflakes dan kacang campuran. Gaul kesemuanya dan pastikan cecair madu itu menyaluti keseluruhan kepingan Cornflakes dan kacang-kacang tersebut. Padam api segera supaya tidak hangus.
  4. Panaskan oven pada suhu 180 darjah Celcius terlebih dahulu. Sudukan campuran tersebut ke dalam cawan kertas dan susun di atas dulang pembakar. Buat sehingga habis.
  5. Setelah itu, masukkan kornfleks di dalam cawan kertas ke dalam oven. Biarkan ia sehingga menjadi warna keemasan selama 10 minit. Sesudah siap bakar, sejukkan di atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara.