Puding Raja (Royale Pudding)


Semalam ayah saya mengidam hendak makan Puding Raja. Buah pisang lemak manis sudah tersedia 3 sikat yang masih belum terusik lagi. Jadi saya "google" resipi Puding Raja untuk melihat bahan-bahan yang digunakan dan cara memasaknya.

Saya rujuk di website ini: http://www.mdpekan.gov.my/web/guest/raja

Cara membuatnya agak mudah jika dibaca sepintas lalu dan saya pernah makan beberapa kali puding ini terutamanya pada musim puasa yang dibeli di pasar Ramadhan. Puding ini terkenal di negeri Pahang terutamanya di daerah Pekan kerana asal-usul Puding Raja adalah hidangan pencuci mulut di dalam istana sahaja. Bagaimana ia tersebar kepada rakyat biasa pula? Saya tidak tahu. Kali terakhir saya makan puding ini di Restoran Sri Affa Jalan Teluk Sisek, Kuantan dan rasanya sedap tetapi bahannya tidak sesegar seperti puding yang pernah dibeli di pasar ramadhan.

Keistimewaan Puding Raja ini adalah cara hidangannya yang sama sekali berbeza dengan puding-puding lain yang kebanyakkannya bahan campuran telah sebati sebagai satu hidangan. Puding Raja pula dihidangkan dengan bahan-bahan yang berbeza di dalam satu bekas (analoginya adalah seperti rojak) iaitu secara berlapisan dalam satu bekas, dimulakan dengan pisang lemak manis/emas yang digoreng, kemudian jala/urat emas, ditaburkan sedikit buah prun, buah ceri, biji gajus dan akhirnya dicurahkan kuah kastard. Tumpuan bahan dalam puding ini adalah pisang, ia hanya menggunakan pisang jenis lemak manis atau emas sahaja. Jika menggunakan jenis pisang lain, pasti akan berlainan rasanya.

Bagi anda yang belum pernah menikmati puding ini, maka saya sarankan agar anda mencubanya untuk pertama kali dan rasanya pasti tidak mengecewakan.

Malam sebelum saya membuat puding ini, saya awalkan memasak jala/urat emas dan simpan di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan dengan bahan-bahan yang lain. Saya rujuk resepi jala/urat emas di dalam laman web yang sama untuk resepi Puding Raja dan saya olahkan sedikit kuantiti bahan-bahan yang digunakan. Saya menggunakan corong daun pisang untuk menghasilkan uraian halus jala emas itu, tetapi hasilnya adalah uraian yang pendek-pendek dan tidak berjala panjang. Seterusnya, saya menyediakan kuah kastard terlebih dahulu kerana hidangan puding ini enak di makan ketika kuahnya dalam keadaan yang sejuk. Penyediaan kuah kastard tidak serumit jala emas, tetapi ia hendaklah sentiasa dikacau di atas api yang kecil. Jika tidak kauh kastard anda akan menjadi berketul-ketul. Setelah siap masak, sejukkan kuah itu sehingga suhu bilik dan masukkan ia ke dalam peti sejuk bahagian refrigerator selama beberapa jam sebelum dihidangkan.



Resepi Puding Raja (Rujukan: Laman Web Rasmi Majlis Daerah Pekan)

Bahan-bahan
    4 sikat pisang lemak manis – dibuang kulit {saya guna 3 sikat sahaja}
    1 cawan biji gajus – digoreng
    2-3 genggam urat emas/jala emas {resepi boleh dilihat di bawah}
    200g buah prun – dipotong empat
    Buah ceri merah/hijau
    2 sudu besar minyak sapi {untuk mengelakkan pisang daripada melekat}
    Minyak untuk menggoreng


Untuk Kuah Puding
    1 tin (410 g) susu cair/sejat {saya guna 2 tin susu cair Ideal}
    3 biji telur – diambil kuning sahaja {saya guna 5 biji telur kuning Gred B}
    Daun pandan – disimpul
    Air sebanyak ½ tin susu {Air saya gandakan sebanyak 1 tin susu}
    1-2 cawan gula (ikut rasa)
    Esen vanila
    {Saya menambah 1/4 cawan tepung kastard}

Cara memasak
  1. Panaskan minyak dan minyak sapi untuk menggoreng dengan minyak yang penuh.
  2. Goreng pisang sehingga kuning. Angkat dan letakkan di atas kertas minyak untuk meresap minyak    yang berlebihan.
  3. Goreng biji gajus. {Saya goreng biji gajus dalam minyak yang sama goreng pisang tadi}

Kuah Puding
  1. Pukul kuning telur bersama susu cair/sejat dan air. Tapis untuk membuang pusat putih telur.
  2. Masukkan gula dan kacau sehingga gula larut. Masak di atas api kecil bersama daun pandan sehingga sederhana pekat. Masukkan sedikit esen vanila. Jangan guna api besar dan kacau selalu supaya tidak bergentel. Keluarkan daun pandan bila siap.
Cara Menghidang
  1. Aturkan pisang goreng 2-3 lapis di dalam mangkuk. Taburkan urat emas.
  2. Kemudian aturkan buah prun, ceri dan biji gajus. Tuangkan kuah ke atasnya apabila hendak dimakan.

 Resepi Jala/Urai Emas (Rujukan: Laman Web Rasmi Majlis Daerah Pekan)

Bahan-bahan

    30biji telur ayam – diambil kuning sahaja {saya guna 20 biji telur Gred B)
    800g gula halus {saya kurangkan sehingga 400g}
    3 helai daun pandan
    8 cawan air {saya kurangkan menjadi 4 cawan air}
    Daun pisang untuk dibuat corong

 Cara memasak
  1. Tapis kuning telur dan pukul sedikit.
  2. Masak gula bersama air sehingga hancur dan mendidih. Tapis dan kemudian masak bersama daun pandan sehingga pekat sedikit. Apabila air tersebut mendidih dan berbuih halus, uraikan atau pusing keliling periuk kuning telur dengan corong daun pisang atau corong tembaga ke dalam air gula tersebut.
  3. Angkat dan tuskan.
  4. Kiraikan urai emas di atas pinggan dengan menggunakan dua batang satay atau garfu.
  5. Hidangkan.
Nota
    Jika air gula menjadi terlalu pekat, tambah dengan air panas