Asslamualaikum dan selamat malam!
Saya hanya mahu menulis secara ringkas sahaja. Maklumlah, baru ada anak kecil yang sentiasa perlu diberikan perhatian. Saya tidak sempat untuk menceritakan panjang lebar.
Ubi Kentang Russet |
Semasa menggoreng, saya isikan minyak penuh di dalam kuali (pastikan karipap tenggelam di dalam minyak sepenuhnya). Saya biarkan minyak dipanaskan dengan api bukaan sederhana. Jangan gunakan bukaan yang paling besar kerana dikhuatiri karipap cepat hangit kulit di luar tetapi mentah di dalamnya. Saya juga tidak menggorengkannya banyak sekaligus, kerana ia akan merendahkan suhu kepanasan minyak disebabkan itu ia menjadi petanda yang tidak baik untuk karipap anda kerana ia boleh menyebabkan kulit karipap terkoyak/terbocor.
Saya sediakan inti karipap ini semalaman dan disimpan di dalam peti ais sebelum membuat karipap yang sebenar. Silalah nikmati karipap ini. Pasti puas hati!
Oleh: Saduran Rasa
Inti Karipap Daging
Bahan-bahan:
2 biji ubi kentang Russet (besar seperti di dalam gambar, jika guna kentang saiz kecil gunalah 4-6 biji)
1 paket kecil serbuk kari daging (dibancuh dengan sedikit air)
1 mangkuk daging yang dipotong halus/dicincang
1 biji bawang besar } dikisar
2 ulas bawang putih } dikisar
1-2 sm halia } dikisar
2 sudu makan cili boh
5 sudu makan gula / 1 keping gula melaka@kerek
1-2 sudu makan garam (ikut citarasa)
2 sudu minyak masak
Air
Cara menyediakan:
- Ubi kentang dibuang kulitnya terlebih dahulu, basuh dan potong dadu. Rendamkan ia di dalam air.
- Panaskan minyak di dalm kuali. Setelah panas, tumiskan bahan-bahan kisar seperti bawang besar, bawang putih, halia dan cili boh sehingga naik bau dan pecah minyak. Kemudian, masukkan serbuk kari. Tumis sehingga naik bau dan masukkan pula daging dan gula.
- Toskan sebentar ubi kentang, dan masukkan ke dalam kuali. Gaul dan sebatikan campuran tersebut. Masukkan air sehingga kesemuanya tenggelam sedikit. Perasakan dengan garam.
- Biarkan ia masak tetapi sentiasa perhatikannya supaya tidak hangus dibahagian dasarnya. Api boleh dipadamkan setelah kari tersebut telah kering dan tidak berair lagi.
- Pindahkan ke dalam bekas lain dan biarkan ia sejuk sebelum digunakan.
Inti karipap daging yang telah disejukkan. |
Kulit/Pastri (boleh dapat lebih kurang 25 biji karipap sebesar dalam gambar)
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum + beberapa gram untuk taburan semasa menguli nanti
1 biji telur
50 gm majerin/mentega
secubit garam
air sejuk peti (tiada sukatan tertentu ~ di isi sedikit demi sedikit sehingga doh tidak lagi melekat ditangan)
Cara menyediakan doh:
- Sediakan tepung gandum di dalam sebuah bekas dan garam. Masukkan majerin terlebih dahulu, dan ramaskannya dihujung jari sehingga menjadi seperti "bread crumb". Kemudian masukkan telur, ramas lagi seperti tadi.
- Tuangkan air sejuk daripada peti sedikit demi sedikit sambil menggaul dan meramas tepung sehingga ia tidak melekat lagi di tangan.
- Ambil papan penguli atau pastry mat, taburkan sedikit tepung gandum di atasnya. Letakkan doh di atas taburan tepung tadi, caanaikan ia dengan menggunakan rolling pin sehingga puas hati (maksudnya; doh tidak lagi kelihatan berbintil-bintil dan ia kelihatan lebih licin permukaannya).
- Ambil plastic wrap dan balutkan doh tadi. Simpan di dalam peti sejuk beku selama 1-2 jam sebelum menggunakannya.
Penyediaan Karipap
- Keluarkan kulit/pastri daripada peti sejuk. Biarkan doh itu di dalam suhu bilik sehingga ia kembali asal.
- Taburkan sedikit tepung di atas papan penguli. Letakkan doh di atasnya, canaikan ia berulang-kali. Potong sedikit/ lebih kecil/anggaran sebesar acuan karipap anda, dan canaikan ia dengan menggunakan pasta machine supaya mendapat kepingan yang lebih nipis.
- Ambil acuan karipap. Letakkan kepingan kecil doh itu di atas acuan. Masukkan inti, penuhkan di bahagian sebelah sahaja, katup rapat acuan itu. Keluarkan dengan perlahan-lahan karipap tersebut daripada acuannya dan letakkannya di atas dulang yang ditaburi tepung (supaya kulit karipap tidak melekat pada bekas). Ulang langkah ini sehingga doh dihabiskan. Jika doh ini mahu disimpan, sampulkan doh tersebut dengan plastic wrap dan disimpan semula dalam peti sejuk beku.
- Panaskan minyak dengan menggunakan api yang sederhana. Goreng karipap-karipap tersebut sehingga berwarna keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
- Sedia dihidangkan.
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entri ini.