Hari ini merupakan hari hujung minggu yang panas. Semua kain jemuran kering dengan cepat. Hujan yang turun tiga hari lepas menyebabkan kain lembap dan projek membasuh kain terbengkalai. Alhamdullilah. Setelah hujan cerah pasti akan datang kembali. Suasana yang cerah membuatkan kita rajin dan bersemangat tanpa sebarang alasan. Oleh itu, saya ingin menyajikan ahli keluarga saya pada petang ini dengan hidangan yang dingin dan menyejukkan di mulut.
Saya mencari resepi pencuci mulut yang agak mudah di masak dan tidak renyah. Saya suka puding yang berkuah, lalu saya terjumpa sesuatu di laman web Saji Online di bahagian pencuci mulut ~ iaitu Sagu Koktel. Saya baca sepintas lalu. Ya! Sangat mudah. Saya suka makanan yang berasaskan sagu. Tanpa berlengah lagi, saya segera cuba memasak hidangan Sagu Koktel.
Setelah menikmatinya, pencuci mulut ini sememangnya menyegarkan perasaan. Bagi anda yang gemarkan hidangan pencuci mulut yang manis bersahaja dan tidak keterlaluan, Sagu Koktel adalah pilihannya.
RESEPI SAGU KOKTEL {Sumber rujukan: Saji Online~Sagu Koktel}
Bahan-bahan untuk kluster sagu:
100 gm sagu mata ikan
4 cawan air
1 cawan buah-buahan koktel
Cara penyediaan kluster sagu:
- Satukan air dan sagu di dalam periuk dan masak sagu itu sehingga kembang.
- Tuangkan sagu ke dalam acuan berselang-seli dengan buah-buahan koktel. Ketepikan dan biarkan ia menyejuk. Sementara menunggu sagu itu sejuk, kita sediakan pula kuahnya.
Sagu koktel ini enak dimakan sejuk-sejuk. Jadi, simpan sagu koktel ini di dalam peti sejuk selama beberapa jam sebelum dihidangkan.