Sudah 3 hari kebelakang ini hujan petang di tempat kami, tetapi petang hari ini cerah. Suami meminta saya memasak kuih untuk dimakan ketika minum petang. Kuih apakah yang paling mudah dan segera dimasak? Sebentar sahaja saya berfikir. Jawapannya adalah kuih onde-onde/buah melaka. Bahan-bahan utamanya sudah tersedia; tepung pulut, kelapa parut & gula kerek.
Berdasarkan pengetahuan saya, terdapat dua nama panggilan untuk kuih ini iaitu 'onde-onde' dan 'buah melaka'; saya biasanya kenal kuih ini sebagai kuih buah melaka, tetapi setelah berkahwin, keluarga suami saya memanggil kuih ini sebagai onde-onde. Kuih buah melaka adalah kuih tradisional popular di Semenanjung Malaysia. Saya yakin rakyat di setiap negeri Semenanjung Malaysia kenal kuih ini dan para penjual kuih tradisi pasti menjadikan kuih ini sebagai salah satu produk jualannya.
Kuih buah melaka mempunyai rasa yang konservatif seperti kuih tradisi yang lain. Mempunyai gabungan elemen rasa manis, lemak dan sedikit masin di dalam satu suapan. Kita tertarik dengan visualnya yang kelihatan seperti satu objek bulat hijau yang gebu dilapisi kelapa parut dan keharuman daun pandan. Setelah dimasukkan ke dalam mulut, bunyi berdecit-decit ketika mengunyahnya menambahkan lagi kenikmatan kuih ini.
"All we need is love" |
RESEPI KUIH ONDE-ONDE / BUAH MELAKA
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
4 camca besar tepung beras
1/2 camca teh kapur makan
1 cawan air suam*
1 camca teh perisa pandan*
pewarna hijau secukupnya*
*Secara tradisionanya; bahan-bahan ini boleh digantikan dengan daun pandan yang dikisar bersama 1 cawan air, kemudian airnya ditapis.
1 keping gula kerek
1 mangkuk kelapa parut
Secubit garam
Cara penyediaan:
1. Periuk yang berisi air direbus terlebih dahulu.
2. Gula kerek dikerat kecil lebih kurang sebesar dadu dan ketepikan.
3. Satukan tepung pulut, tepung beras dan kapur makan ke dalam satu bekas. Masukkan air suam, perisa pandan dan pewarna ke dalam bekas berisi tepung tadi. Ulikan adunan tersebut sehingga ia menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Jika adunan tepung itu lembik dan masih melekat di tangan, campurkan sedikit tepung pulut dan jika adunan itu terlalu kental, tambahkan lagi sedikit air.
Doh yang telah diuli |
4. Ambil sejemput tangan (boleh juga disukat dengan 1 camca teh) doh dan gentelkan menjadi bulat dan penyetkan ditengah-tengahnya. Isikan ketulan kecil gula kerek ditengah-tengah penyetan doh itu. Seterusnya tutupkan doh dan gentelkan semula menjadi bentuk bebola. Pastikan doh itu menutup gula kerek sepenuhnya.
5. Masukkan bebola doh itu ke dalam air rebus yang telah mendidih.
6. Sementara menunggu bebola doh itu masak, satukan kelapa parut dan garam dan gaul sehingga campuran itu mesra.
7. Apabila bebola doh telah masak (tandanya adalah ia terapung di permukaan air), angkat dan toskan bebola tersebut dan gelekkan perlahan di atas kelapa parut. Sedia dihidangkan.
Selamat Petang di hujung minggu. |