Salam sejahtera semua.
Saya sambung semula menulis blog pada hari ini setelah berceloteh panjang tentang hari lahir suami saya. Baiklah, kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang masakan pastri yang telah saya buat pada petang semalam ~ iaitu Tartlet Keju Bluberi.
Sudah lama saya teringin untuk memasak kuih tart dan kebetulan pula saya singgah di pasar Giant dan membeli 1 pek kecil buah bluberi yang harganya adalah RM 9.99. Buahnya berbentuk bulat-bulat kecil, berwarna biru kegelapan dan permukaannya tampak seperti baldu.
Ilham memasak tartlet ini adalah setelah saya merasa keenakkan kuih ini di sebuah restoran di sekitar Gombak. Saya tidak ingat nama restoran itu. Kemudian, saya mencari-cari resepi yang ada di dalam internet dan akhirnya saya memutuskan untuk mencuba resepi daripada laman web Bisous a Toi ~ I'VE GOT MY MOJO WORKING. Antara bahagian yang saya banyak menghabiskan masa untuk memasak hidangan ini adalah menyiapkan pastri tart lebih-lebih lagi semasa hendak membentukkannya di dalam acuan. Namun begitu, bagi saya bahagian yang paling menyeronokkan ialah semasa 'piping' krim keju dan menggigit tart yang telah siap.
Saya tidak banyak mengubah bahan-bahan yang ada dalam menggunakan resepi ini kecuali 'filling' digantikan dengan jem bluberi dan esen/ekstrak lemon digantikan dengan jus lemon. Saya juga melakukan tambahan dua kali gandaan pada bahan-bahan pastrinya (hasilnya adalah lebih kurang 100 biji pastri) dan saya menambah buah bluberi sebagai perhiasan di atas tartlet tersebut.
Saya suka krim keju dalam ini kerana ia lembut bila digigit dan tidak muak. Bagi saya, Tartlet yang baru dimasak adalah lebih sedap dimakan. Perkara yang melucukan saya adalah suami saya gemar mencuri pastri tartlet yang masih kosong dan makan begitu sahaja. Rasanya adalah seperti 'butter cookies' katanya. Saya gembira dan sangat berpuas hati membakar pastri ini kerana semua menyukainya terutamanya adik bongsu dan emak saya. Kini saya sudah berani dan yakin untuk memasak dan membakar pastri yang lain pula. Syukur ku pada Ilahi kerana memperolehi ilmu baru.
Jadi, kepada rakan-rakan yang ingin mendapatkan resepi Tartlet Keju Blueberry yang telah saya cuba ini, silalah rujuk di sini oleh Bisous a Toi. Resepi ini adalah dalam bahasa inggeris. Saya ada juga membuat sedikit 'editing' kepada bahasa melayunya. Lihatlah di bawah. Selamat mencuba ya!
Simply purity and lovely pastry. |