Puding Roti Bakar





Salam dan kita bertemu kembali.

Saya sudah lama tidak 'update' laman blog ini. Maaf jika kalian ternanti-nanti akan lembaran seterusnya. Saya baru berpindah di rumah baru. Persiapan sebelum dan selepas berpindah sangat meletihkan tetapi ia perlu dilakukan juga. Saya dan suami baru sahaja dapat menikmati talian 'broadband' pada hari ini. Jadi, saya sangat teruja untuk menyambung kembali penulisan saya pada hari ini.

Hari ini saya ingin berkongsi masakan pencuci mulut yang saya sediakan pada makan malam semalam. Ia adalah Puding Roti Bakar.

Puding roti ini sangat sedap dengan gandingan buah kismis. Saya rasa jika tiada buah kismis tersebut maka puding ini akan rasa hambar dan cepat muak. Saya sediakan puding ini dalam saiz 'cupcake' sederhana supaya ia mudah dimakan. Seterusnya, kelainan yang saya lakukan adalah dengan menambah aiskrim vanilla di dalam hidangan pencuci mulut ini. Percayalah, rasanya sangat menyegarkan.





PUDING ROTI BAKAR (Saya rujuk : Naz Rinn Chan Fotopages)


Bahan-bahan:
8 keping roti sandwic (Saya guna 10 keping roti Gardenia)
500ml susu segar  (Saya gantikan dengan 600 ml susu sejat Ideal)
4 sudu besar gula halus
2 sudu besar mentega (Saya guna Buttercup)
1 camca teh esen vanilla
2 biji telur
1 sudu besar tepung jagung
Kismis hitam secukupnya

Hasil setelah siap dibakar.


Cara-cara:
1. Roti dicarik-carik dan direndam dalam susu selama 1/2 jam (Saya rendamkan roti dalam susu sejat sehingga 10-15 minit sahaja).
2. Pukul mentega dan gula. Kemudian, masukkan esen vanilla.
3. Masukkan telur dan pukul sebentar hingga rata.
4. Masukkan tepung jagung dan kacau rata.
5. Campurkan kedua-dua adunan. Tuang adunan dan taburkan beberapa butir kismis dalam loyang yg sesuai (Saya gunakan loyang 'cupcake' bersaiz sederhana) dan bakar pada suhu 180 darjah celsius selama 30 minit (Saya kurangkan menjadi 20-25 minit atau sehingga permukaan puding itu berwarna keperangan).



Selamat menjamu selera!